William Cheng
Oleh Zaini Hassan
KELMARIN saya bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, setelah sekian
lama tidak ketemu. Saya juga tidak mengunjungi ke rumah terbukanya
baru-baru ini yang dihadiri ribuan orang. Maaf Tun!
Dulu semasa beliau menjadi Perdana Menteri sering saya bertemu; sama
ada dalam liputan berita, membuat liputan lawatan ke luar negara atau
dalam wawancara khas dengan beliau. Pendek kata, kerjaya saya sebagai
wartawan sebahagian besarnya ialah dalam era beliau. Beliau juga yang
membentuk kewartawanan kami.
Sebagai wartawan kami tahu tabiat beliau, tingkah laku beliau dan
sepak terajang politik beliau. Jangan bohonglah mengenai politik dengan
beliau. Walaupun asas pelajarannya dalam perubatan, beliau ialah seorang
ahli politik yang tiada tolok-bandingnya.
Dalam buku 24 Hours in Cyberspace, penulis buku itu menyifatkan Dr.
Mahathir sebagai “the most political savvy on earth” atau seorang yang
amat celik politik di atas muka bumi ini. Dalam konteks buku itu, Dr.
Mahathir digambarkan seorang pemimpin yang mampu menggunakan kuasa
politiknya untuk menjadikan Malaysia sebagai apa yang kita lihat pada
hari ini.
Kuasa Internet dan Koridor Raya Multimedia mula dikenali di negara ini setelah dibawa masuk oleh Tun M.
Prof. Kisho Kurokawa, seorang arkitek tersohor Jepun yang mereka
bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beratus
lagi struktur hebat dunia, dalam bukunya, The Philosophy of Symbiosis
juga menyifatkan Tun sebagai arkitek terhebat yang lebih hebat daripada
dirinya.
Benar, Tun Dr. Mahathir cukup teruja dengan teknologi. Pengalaman
mengikuti beliau ke negara luar dulu, saya perhatikan beliau amat serius
jika meneliti sesuatu teknologi baharu. Wajahnya akan berkerut
memerhatikannya serta mendengar taklimat dengan cukup khusyuk.
Itulah Dr. Mahathir, yang semua orang mengenalinya.
Jika dulu saban tahun, saya bersama-sama teman-teman seperjuangan
Utusan Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarang, Khalid Mohd., mewawancara
Tun secara eksklusif setiap kali menjelang Perhimpunan Agung UMNO –
setiap kali itu jugalah, kami semua pasti akan teruja dengan
jawapan-jawapan yang diberikan.
Cakap beliau begitu teliti. Ayat-ayatnya tersusun rapi. Isu yang
sukar, dipermudahkan dengan begitu senang. Bagi saya, Tun bukan sahaja
seorang doktor, ahli politik malah pakar bahasa Melayu dan Inggeris yang
juga hebat.
Soalan yang provokatif adalah soalan yang gemar ditanya, kerana
jawapannya amat memberangsangkan. Kelmarin dalam usianya yang menjangkau
ke-86 tahun, saya diberi peluang untuk mewawancara beliau sekali lagi
dan kali ini untuk program TV1 Bicara Negarawan di pejabat beliau di
Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Wawancara itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Wawancara itu akan
disiarkan pada hari Jumaat ini mulai pukul 10 hingga 11 malam.
Walaupun ia hanya memakan masa yang amat pendek iaitu sejam, namun
sekali lagi jawapan-jawapan yang diberikan cukup hebat. Sehebat semasa
kami mewawancara beliau dahulu.
Walaupun beliau tidak melihat terlebih dahulu soalan yang akan
ditanya, namun jawapan spontannya lengkap. Semua jawapan berada di
hujung jari beliau.
Melihatkan wajahnya yang cukup berseri, dan fizikalnya yang baik,
semua tetamu kagum dengannya. Soalan pertama daripada rakan saya dari
Bernama, Datuk Yong Soo Heong ialah mengenai rahsia beliau menjaga
kesihatan. Sekali lagi beliau berkata jaga makan, jangan sampai
gemuk...!
Isu ‘calon boleh menang’ atau winnable candidate misalnya, digarap
dengan begitu mudah. “Adalah lebih baik mereka (yang bermimpi-mimpi mahu
menjadi calon) memastikan parti akan mendapat kemenangan kerana hanya
apabila parti menang dan mendirikan kerajaan barulah semua pihak dapat
merasai kenikmatannya.”
Beliau mengakui sukar untuk membetulkan keghairahan orang yang mahu
menjadi calon. Dalam soalan lain, beliau turut meminta kerajaan mengubah
pandangan dan fikiran mengenai cadangan untuk membawa masuk syarikat
luar bagi bersaing dengan pengusaha tempatan, terutamanya dalam bidang
minyak dan gas. Sebaliknya Tun mencadangkan peluang terus diberikan
kepada syarikat-syarikat tempatan.
Walaupun pendek, wawancara itu dijawab beliau dengan begitu mantap sekali.
Di atas pentas semasa wawancara selesai, saya sempat berbisik
mengenai jualan terkini buku memoirnya: A Doctor In The House. “Bagus,
sudah terjual lebih kurang 90,000 naskhah.” Difahamkan versi bahasa
Mandarin yang baru dilancarkan juga sudah habis.
Versi Melayu katanya, dalam proses penyiapan. Saya jangka versi
bahasa Melayunya juga akan menjadi goreng pisang panas apabila
dilancarkan kelak.
Namun, saya agak kecewa kerana beberapa soalan lain gagal ditanya kerana kesuntukan masa.
Antara soalan itu: Tun merupakan Melayu pertama yang digelar sebagai
ultra Melayu selepas dipecat daripada UMNO pada 1969. Mengapa agaknya?
Dalam konteks sekarang adakah salah jika orang Melayu dikenali sebagai
ultra dalam memperjuangkan haknya?
William Cheng, seorang ultra
Cina...?
TAIKUN besi The Lion Group, Tan Sri William Cheng dalam ruangan
Bisnes Utusan Malaysia semalam mempertikai kewujudan Kedai Rakyat
1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak. Kedai itu yang mula mendapat sokongan rakyat kini dianggap oleh
William boleh menjejas peruncit biasa, yang mungkin ditujukan kepada
peruncit berbangsa Cina.
Kita semua tahu Kedai Rakyat 1Malaysia itu cukup hebat ideanya.
Itulah kedai yang menjual barangan murah (konsep seperti pasar raya No
Frills di Kanada) yang mampu dibeli rakyat marhain, yang rata-ratanya
masih terdiri daripada orang Melayu dan India.
Selama ini pekedai-pekedai (yang dimaksudkan oleh William Cheng)
menjual barangan dengan harga yang ada kalanya tidak masuk akal,
sehingga ada yang berani menyorok bagi memberi tekanan supaya kerajaan
menaikkan harga barangan tertentu.
Saudara saya yang menjalankan kedai runcit di Labu Besar, Kulim dan
Tunjang, Jitra juga pernah mengadu, harga borong yang diperolehnya
berbeza harga dengan pekedai lain yang sebangsa dengan pemborong itu.
Jadi, peruncit Melayu itu hanya akan untung kecil saja atau tak untung
langsung jika harganya terpaksa diselaraskan dengan kedai pesaing tadi.
Apakah William Cheng sedar perkara-perkara itu?
Dalam ulasannya mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia itu, beliau dipetik
sebagai berkata, langkah (kerajaan) itu sedikit sebanyak menjejaskan
operasi peniaga-peniaga runcit kecil di bawah naungan Gabungan Dewan
Perniagaan Perindustrian Cina (ACCIM).
Dakwa Cheng, kerajaan perlu berlaku adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada.
Kata Cheng, harga produk di kedai 1Malaysia adalah 30 hingga 40
peratus lebih murah berbanding yang ditawarkan oleh kedai runcit biasa.
‘‘Sekiranya perkara ini tidak dibendung, perniagaan kedai runcit (ahli-ahli ACCIM) akan terjejas.”
Saya enggan komen panjang, biarlah pencetus idea hebat Kedai Rakyat 1Malaysia itu, iaitu Perdana Menteri sendiri menjawabnya.
Ini pula reaksi Ibrahim Ali,
seorang ultra Melayu...?
(DATUK Ibrahim Ali menghantar reaksi ini bagi menjawab kenyataan
William mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia dan cadangan pemindahan Lion
Group ke Indonesia. Saya siarkan penuh SMS keras beliau dengan
suntingan).
Itulah gambaran golongan mereka yang sangat pentingkan diri dan kadang kala bersikap melampau.
Mereka hanya pentingkan segolongan peniaga, tapi bagaimana
kepentingan orang ramai termasuk kaum Cina dan India yang berpendapatan
rendah.
Nampaknya golongan ini langsung tidak ada pertimbangan wajar terhadap kepentingan majoriti rakyat.
Setiap hari dan masa ugut kerajaan. Mementingkan golongan peniaga
kumpulan tertentu atau puak kapitalis minoriti yang kaya raya sahaja
adalah satu langkah yang karut.
Oleh itu kerajaan mesti teruskan Kedai Rakyat 1Malaysia.
Cadangan Lion Group mahu pindah ke Indonesia adalah satu ugutan yang
tidak perlu dilayan. Negara Malaysia bebas dan ada dasar serta
undang-undang sendiri.
Kerajaan mesti melihat kepentingan negara dahulu sebelum kepentingan satu dua individu korporat yang tamak.
Kepentingan mereka lebih penting daripada kepentingan negara dan rakyat.
Baru-baru ini RIM melaporkan Malaysia terus menjadi destinasi pelabur
gergasi dunia. Satu pergi banyak lagi yang akan datang. Yang penting
kerajaan mesti TEGAS dan tidak mudah tunduk kepada ugutan.
Pada mereka, Dasar Affirmatif mesti ditolak, tapi Dasar Perlindungan
untuk mereka mesti diteruskan. Betul-betul double standard dan bersifat
jahat.
Umat Melayu Islam, bumiputera dan semua kaum yang daif mesti bersatu
untuk mempertahankan kepentingan negara dan keharmonian hidup serta
menentang dasar untuk kumpulan minoriti yang berpengaruh.
Bagaimana pula dengan peniaga-peniaga makanan yang hanya mampu adakan
gerai bergerak atau gerai tepi jalan untuk berniaga dengan harga barang
melampau.
Apa tinggal untungnya. Sebab itu gerai tepi jalan terpaksa menjual nasi campur dengan harga RM5 untuk tengah hari.
Nak untung RM1 pun payah. Kalau 100 bungkus dapatlah RM100 sehari.
Upah pembantu RM30 paling murah sehari untuk seorang. Petrol
kurang-kurang RM20. Dapatlah RM50 bersih sehari. Sebulan RM1,500. Bayar
van RM700. Sewa rumah atau bayar pinjaman rumah RM500. Baki RM300.
Elektrik dan air RM100. Baki RM200.
Cukup ke tanggung anak sekolah rendah atau menengah?