KUALA LUMPUR, 30 Dis – Pas telah terbukti sebuah parti politik tulen yang beranggapan semua perbuatan dan perlakuan mereka adalah lakonan dalam sandiwara semasa untuk mendapat pangkat dan kedudukan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron.
Ujarnya, apabila pemimpin tertingginya mengambil mudah hal-hal
ketidak puasan hati anggotanya maka itu adalah salah satu bukti bahawa
mereka lebih mengutamakan soal kepentingan peribadi, kedudukan dan kuasa
berbanding matlamat dan idealogi sebenar parti.
“Kita dapat melihat sendiri bagaimana para pemimpin dalam Pas tidak
mengambil kira perasaan anggotanya sebagaimana yang diluahkan oleh bekas
Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa serta bekas Pesuruhjaya Pas
Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan rakan-rakannya,” katanya kepada
UMNO-Online di sini.
Jelasnya, sikap sedemikian juga menunjukkan bahawa kepimpinan dalam
Pas tidak konsisten apatah lagi apabila berdepan dengan pendedahan dari
anggotanya sendiri.
“Inilah lakonan Pas yang seringkali bankrap idea dalam memastikan
kesinambungan parti mereka sebaliknya sejak kebelakangan ini mereka
lebih cenderung mengharapkan kekuatan rakan sekutu dalam pakatan mereka
termasuklah Dap dan PKR.
“Mereka tidak dapat menerima teguran dari anggotanya sendiri
sebagaimana Hassan Ali yang mahu membela Islam sedangkan Pas mahukan
kuasa politik dengan impikan Putrajaya.”
Rabu lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan
kemelut yang melanda parti itu membabitkan Nasharuddin, Hasan dan
Mustafa sudah berakhir selepas satu pertemuan bersama pucuk pimpinan
parti diadakan di Kelantan dengan Hasan dikatakan memohon maaf.
“Kenyataan Nik Aziz bukanlah dapat menyelesaikan masalah sebaliknya
ia menambahkan lagi kekusutan apabila perkara yang dikatakan selesai itu
cuba disembunyikan oleh individu yang pernah dilabelkan sebagai ‘setan
bisu’ oleh pemimpinnya sendiri sekitar tahun 1970-an lalu, maka tidak
hairanlah jika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim pun pernah gelarkan Nik
Aziz sebagai ‘ulama terompah’,” tegasnya yang juga Ketua Bahagian UMNO
Tangga Batu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Mustafa Ali menuduh Nasharuddin dan
Hasan terperangkap dalam agenda politik UMNO selepas bekas Timbalan
Presiden dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu mengkritik dasar serta
perjalanan parti tersebut secara terbuka tetapi tuduhan berkenaan
dinafikan.
Mustafa kemudian mendakwa pula Hasan pernah mengadakan pertemuan
dengan tiga individu lain yang dikaitkan dengan UMNO di sebuah hotel di
Kuala Lumpur pada Ramadan lalu, tetapi sekali lagi ia dinafikan Hasan
dengan beliau membuat dakwaan balas. –http://umno-online.com/







0 comments:
Post a Comment